='description'/>

Friday 8 November 2013

Di antara Pujian dan Galakan..

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Koleksi Peribadi

         Minggu ini saya dihubungi guru kelas Mental Arithmetik anak saya di tadika. Akhir-akhir ini dia selalu hilang fokus semasa belajar. Mengikut jadual, minggu ini adalah minggu akhir untuk menghabiskan modul tersebut yang hanya dijadualkan sehari dalam seminggu. Dua minggu lepas begitu juga. Selepas saya memberi serba sedikit galakan dan pujian (sesekali dengan ganjaran dan ugutan juga), ada sedikit perubahan dan dia begitu bersemangat membuat latihan. Tetapi minggu ini bermasalah lagi. Saya mengambil keputusan ke sekolah dan dengan kebenaran guru, saya melihat sendiri dia membuat latihan. Apa yang pasti seperti kata cikgunya, dia bukan tidak tahu membuat latihan itu tetapi selalu hilang fokus sewaktu belajar. 




         Terdapat banyak kajian yang dijalankan  dan didapati memberikan kata-kata pujian dan galakan kepada anak-anak adalah digalakkan. Kata-kata ini boleh menaikkan semangat, keyakinan dalam diri dan merasa diri mereka dihargai.Namun pujian dan galakan tersebut perlu diucap dengan betul dan dibuat berpada-pada supaya tidak membahayakan anak-anak kita. 

        Dr. Rudolph Dreikur, seorang pakar psikologi yang terkenal, pernah berkata, "seorang kanak-kanak itu memerlukan galakan seperti pokok perlukan matahari dan air”. Strategi ini lebih memberikan kesan berpanjangan kepada cara kanak-kanak itu melihat dirinya. Pujian dan galakan itu merupakan strategi yang positif, berkesan dan membawa manfaat jika digunakan. 

Perbezaan di antara pujian dan galakan:
        
1.      Pujian ialah satu ganjaran yang perlu dimenangi:
         “Tahniah Haziq kerana berjaya dapat A dalam ujian semalam!”

         Galakan pula ialah satu hadiah:
     ”Abah berasa bangga kerana Haziq betul-betul berusaha dengan gigih untuk peperiksaan kali ini!”

2.      Pujian menggunakan perkataan-perkataan yang menunjukkan kita menghakimi:
          “Awak dapat jawab semua soalan dengan betul. Tahniah!”

       Galakan menggunakan pertuturan perkataan yang menunjukkan kita mengambil berat:
       “Saya berasa gembira apabila awak mencuba untuk menjawab soalan saya tadi.”

3.      Pujian menggalakkan pertandingan:
         “Tahniah Aiman! Aiman dapat nombor satu dalam kelas!”

         Galakan menggalakkan kerjasama:
         ”Teruskan usaha Ain! Nampak makin bagus keputusan periksa Ain.”

4.      Pujian menunjukkan penerimaan bersyarat:
       “Emak sayangkan Odah apabila Odah dapat keputusan yang baik dalam peperiksaan.”

      Galakan menunjukkan penerimaan tanpa syarat:
      “Emak sayangkan Odah apabila Odah berada di sisi emak.”

5.      Pujian mengajar kanak-kanak untuk memuaskan hati orang dewasa:
     “Bagus betul Hafiz hari ini kerana tolong mak mengemas rumah. Mak rasa bangga dengan Hafiz.”

     Galakan pula mengajar kanak-kanak untuk memuaskan hati mereka sendiri:
     “Abah perhatikan sekarang ini, Syakirin semakin rajin mengulang kaji pelajaran. Syakirin patut bangga dengan diri Syakirin.”

6.      Pujian hanya boleh diberi apabila kanak-kanak itu berjaya:
         “Tahniah, Zul kerana berjaya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.”

      Galakan pula boleh digunakan apabila seseorang kanak-kanak itu sedang menghadapi kegagalan atau kekecewaan:
        “Tak apa, adik. Emak tahu adik dah berusaha keras untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam ujian Matematik itu. Teruskan usaha adik itu!”

         Daripada perbezaan di atas, kita boleh melihat bahawa pujian boleh mendatangkan ketagihan dan boleh menyebabkan anak-anak itu mencari motivasi yang berbentuk luaran. Sebaliknya, galakan akan kurang menyebabkan ketagihan dan lebih menggalakkan motivasi dalaman anak-anak itu. Secara amnya, pujian itu berkesan, tetapi galakan lebih berkesan!


Sebahagian daripada artikel ini dipetik daripada buku  'Cara Mudah Mmeperkenalkan Bahasa Inggeris Kepada Anak Anda' terbitan Perintis Books Sdn Bhd.


No comments:

Post a Comment