='description'/>

Friday 29 November 2013

Hasil dari laman...

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Koleksi Peribadi 

Alhamdulillah, berkat pagi Jumaat. Pagi ini dapat meninjau seketika pokok-pokok tanaman yang terbiar sekian lama.  Malang pokok ni dapat tuan macam saya. Hanya mengharap air hujan untuk menyambung nyawa. Harapkan tuan rumah yang selalu lupa nak menyiram. Hasilnya pokok cili saya tidak berbuah sekian lama. Kebetulan musim tengkujuh sekarang agaknya, beberapa pokok cili saya mula berbuah. Alhamdulillah, berhasil juga nampaknya. Walaupun tuannya hanya rajin menanam tapi culas dan selalu lupa nak menjaga. Dalam seminggu ni boleh juga jimat belanja dari membeli cili. Syukur... :) 


Monday 25 November 2013

Bertambah umur setahun lagi!


Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google

Alhamdullillah. Hari ini berginjak lagi setahun umur yang Allah bagi. Syukur dengan nikmat pemberian Mu ya Allah. Pagi-pagi lagi sudah menerima ucapan dari suami, keluarga dan sahabat-sahabat yang masih mengingati hari yang menginjak tua ni. Terima kasih juga pada pakcik ‘Digi’, ‘Pusat Zakat NS’, ‘Tesco’, ‘Watson’ dan Makcik ‘Huggies’ yang tak pernah lupa menghantar mesej kepada pelanggan setianya  ini.. :)

Pagi ini sedikit sibuk. Anak-anak saudara datang bertamu di hantar oleh kakak yang ada urusan di sekolah. Lumrah anak-anak sesekali berjumpa riuh rendah jadinya. Rumah yang kecil sudah bertukar macam taska, gamat dengan hilai tawa dan adakala diselang tangisan. Hari ini tugas memasak dan melayan kanak-kanak riang menjadi mudah, bila ada bibik kakak yang turut membantu. Menu hari ini sambal ayam bersama kacang panjang masak kicap jadi santapan tengahari. Alhamdulillah..


Sunday 24 November 2013

Kepentingan wasiat dalam masyarakat Islam (Bahagian 1)

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google

Wasiat adalah dokumen bertulis yang mengandungi ikrar ataupun hajat seseorang yang dibuat ketika hayatnya ke atas harta atau manfaatnya untuk dilaksanakan selepas kematiannya.

Rata-rata rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam hari ini kurang pengetahuan tentang wasiat. Wasiat sering disalahertikan di mana ramai yang beranggapan wasiat adalah kata-kata atau pesanan seseorang mengenai hartanya sebelum meninggal dunia.

Masyarakat Islam harus sedar bahawa penulisan wasiat bukanlah bermatlamat untuk menidakkan hukum faraid. Penulisan wasiat bertujuan memudahkan proses pentadbiran dan pengagihan harta pusaka dan sekali gus nasib waris-waris dapat dipelihara. 

Berikut adalah antara masalah-masalah yang kerap timbul akibat ketiadaan wasiat:

a)    Proses pengagihan harta pusaka berlarutan sehingga bertahun-tahun
b)    Nasib waris-waris tidak terbela khususnya anak-anak yang berumur 18 tahun ke bawah
c)    Suami / isteri tidak mendapat bahagian harta sepencarian
d)    Hutang tertunggak
e)    Proses perundangan yang menyulitkan waris-waris
f)     Hubungan kekeluargaan di kalangan waris-waris terjejas
g)    Manipulasi terhadap harta pusaka
h)    Perniagaan tidak dapat diteruskan

Ramai yang masih berandaian bahawa harta-harta seseorang akan secara automatik diagihkan kepada wars-waris setelah berlaku kematian. Tetapi malangnya, pelbagai proses yang kompleks perlu dilalui oleh waris-waris sebelum harta peninggalan dapat diagihkan. Melihat realiti semasa, kita dikejutkan laporan akhbar RM42 bilion harta orang Islam di Malaysia beku membabitkan kes gagal diselesaikan pewaris kerana tiada wasiat. Jumlah yang besar itu memberikan impak buruk kepada perkembangan ekonomi orang Islam.

Individu-individu yang perlu membuat wasiat tidak semestinya yang kaya-raya. Dengan hanya berhartakan contohnya RM5000.00, seseorang itu perlu juga membuat wasiat sama ada harta itu berupa harta alih seperti akaun simpanan atau harta tak alih seperti tanah. Tiada sesiapa yang mahu waris-warisnya bersusah-payah turun naik mahkamah dan sebagainya semata-mata untuk mendapatkan harta peninggalan mahupun dalam usaha melunaskan hutang-hutang si mati.

Nafsu dan perasaan manusia terlalu rumit untuk diramalkan. Keadaan keluarga yang harmoni pada hayat kita boleh bertukar menjadi haru-biru dan berpecah-belah disebabkan kelemahan pentadbiran ataupun perebutan harta peninggalan kita. Justeru itu, ingin ditekankan di sini bahawa, melalui penulisan wasiat, pelbagai komplikasi jangka panjang mahupun jangka pendek boleh dielakkan selain menjamin kesejahteraan institusi kekeluargaan. 

       Tahukah bahawa setelah kematian anda, harta-harta seperti akaun semasa, akaun simpanan di Tabung Haji, ASB, KWSP dan sebagainya akan terbeku dan kebiasaannya waris-waris terpaksa menunggu sehingga beberapa tahun sebelum harta-harta itu dapat diagihkan? Janganlah berlengah lagi dalam melindungi harta anda dan orang-orang yang anda sayangi walaupun anda masih muda. Jangan tinggalkan mereka dengan masalah kewangan ditambah pula dengan prospek sistem perundangan yang menyulitkan. 

        Kini, pelbagai institusi kewangan dan syarikat yang mendaftar menawarkan perkhidmatan mendokumenkan wasiat dan ia boleh dibuat pada bila-bila masa tanpa perlu melantik peguam. Anda juga tidak perlu risau kerana wasiat anda akan disimpan oleh institusi tersebut dan boleh diubahsuai mengikut kesesuaian status semasa anda. Dan yang paling penting kos untuk menyediakan dokumen wasiat anda adalah sangat berpatutan. 

Hari minggu yang tenang...

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google

Alhamdulillah.. pagi yang tenang dan mendamaikan. Menguruskan aktiviti harian seperti biasa. Cuti minggu di rumah shaja memandangkan suami di jadualkan bekerja. Kadang-kadang rasa beruntung bila suami bekerja mengikut 'shift' kerana kami selalunya dapat keluar menguruskan pelbagai urusan di hari-hari biasa ketika dia bercuti. Tidak perlu berebut-rebut dan bersesak-sesak ke pasar raya yang menjadi tumpuan orang ramai bila sampainya hari minggu. Begitu juga dengan urusan-urusan di pejabat-pejabat kerajaan atau urusan perbankan yang lebih mudah dan tidak menyesakkan. 

Hari ini baby tak banyak meragam dan mudah tidur berbanding hari-hari sebelumnya. Usai tugas memasak dan membasuh, dah boleh buka PC untuk mulakan entri. Oleh kerana akses intenet yang ada di rumah tidak berapa baik saya perlu menghidupkan PC lebih awal. Sambil menunggu proses 'loading' yang lambat, boleh menyusukan anak di pangkuan sebelum ditidurkan dalam buaian. Semuanya perlu dibuat dalam keadaan yang senyap memandangkan dia cepat terjaga dari tidur bila terdengar bunyi-bunyi yang bising. 


Bila baby sudah lena, dah boleh mulakan kerja-kerja menaip. Masalah internet yang sangat perlahan, nak 'save' entri pun memerlukan masa. Daripada termenung mengadap PC, saya boleh melipat kain baju yang baru di ambil dari ampaian sambil membuai bayi. Dalam menunggu nak 'preview' dan boleh 'publish' kain pun siap dilipat dan disusun di almari. 

Alhamdulillah.. dapat juga siapkan dua entri hari ini. Banyak lagi entri rupanya dibuat untuk merebut tawaran ebook percuma '101 idea Home based business' tawaran Puan Masayu ni.. Ada tinggal satu hari lagi esok.. hu..huh... macam tipis je harapan. Apapun semoga Allah kuatkan azam dan semangat saya untuk mencapai 44 entri secepat mungkin. In shaa Allah..


Saturday 23 November 2013

Konsep Takaful

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google


Takaful merupakan satu konsep insurans yang berasaskan muamalat yang berlandaskan hukum syariah dan sebenarnya telah diamalkan sejak lebih 1,400 tahun yang lalu.

Pada asasnya, sistem Takaful berteraskan konsep kerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling membantu di kalangan para pesertanya. Dalam erti kata lain, ia merupakan penyediaan sumbangan yang dikongsi bersama bagi membantu mereka yang memerlukannya. 



Asas falsafah ini adalah berpandukan kepada beberapa hadith Rasulullah s.a.w. yang antaranya:
Dalil Kerjasama
Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. (Al-Maidah : 2)

    Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mereka saling membantu antara satu sama lain. (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)

Dalil Tanggungjawab
      Ibarat hubungan dan perasaan orang-orang beriman sesama mereka adalah seperti jasad, apabila salah satu daripadanya ditimpa kesusahan, maka seluruh anggota yang lain juga akan merasainya. (Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Dalil Saling Melindungi
     Demi hayatku yang berada dalam kekuasaan Allah, tiada siapa yang akan masuk Syurga jika beliau tidak melindungi jirannya yang berada dalam kesusahan. (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

Berasaskan kepada dalil di atas, para ilmuan Islam memutuskan bahawa usaha bersepadu perlu wujud untuk melaksanakan konsep Takaful sebagai kaedah terbaik untuk memenuhi tuntutan ini.

Memahami Kontrak Takaful
       Meskipun konsep insurans dibenarkan di dalam Syariah, terdapat beberapa amalan insurans konvensional yang bercanggah. Amalan Takaful yang dipraktikkan sekarang menggunakan gabungan dua jenis ‘Aqad (kontrak) utama. Ianya adalah kontrak Tabarru’ (derma) dan Wakalah (ejensi) yang bebas daripada sebarang unsur Riba (faedah), Maisir (perjudian) dan Gharar (tidak jelas). Sistem Takaful memberi penekanan terhadap semangat kerjasama dan tanggungjawab sesama para peserta.

     Melalui semangat kerjasama dan tanggungjawab sesama peserta, amalan menyumbang ini memberi peluang kepada para peserta untuk mendapat manfaat dalam dua bentuk keuntungan. Pertama, keuntungan daripada segi kewangan menerusi pelan Takaful itu sendiri. Kedua, “manfaat” daripada segi rohaniah di mana para peserta dapat memenuhi tanggungjawab yang disyariatkan oleh agama dan tuntutan sosial melalui kaedah Tabarru’. Sistem Takaful tidak hanya bermanfaat kepada Muslim sahaja, malah ia turut memberi kebaikan kepada semua peserta tanpa mengira pegangan agama mereka.


Wanita dan memasak

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google

Pada dasarnya saya bukan wanita yang pandai memasak. Tambahan pula, memasak bukan bidang saya sejak kecil. Di rumah, saya jarang diharapkan dengan kerja memasak oleh keluarga. Memandangkan saya mempunyai kakak dan adik perempuan yang pandai memasak, saya jarang melibatkan diri aktiviti-aktiviti di dapur kecuali membasuh pinggan. Ketika itu saya lebih rela mengambil tugas menyapu walau sekeliling rumah, membasuh baju dan menjaga adik-adik yang masih kecil. Dalam pada itu juga saya mengambil inisiatif belajar masak secara teori sahaja memandangkan sering mendapat sindiran dan usikan adik beradik tentang keperluan kemahiran memasak bagi seorang anak perempuan.

Saya mula tinggal di asrama sejak dari umur 10 tahun sehingga ke tingkatan 5. Keputusan peperiksaan SPM yang kurang memuaskan, tidak melayakkan saya untuk memohon menyambung pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Saya menyambung pelajaran ke Tingkatan 6 di sebuah sekolah swasta di Johor. Saya menyewa sebuah rumah dengan tiga orang kawan. Ketika inilah satu kejutan bagi saya apabila perlu mengambil giliran untuk memasak. Sejak dari itulah saya mula belajar memasak. Ada ketika terpaksa berhubung dengan mak atau adik bertanya resepi. Sesekali seronoknya juga dapat menjamu kawan-kawan masakan sendiri dan dalam masa yang sama boleh merasa masakan kawan-kawan lain . Kebetulan juga kami datang dari daerah yang berbeza. Secara tidak langsung boleh belajar resepi-resepi baru dari mereka.

Alhamdulillah, dari hari ke hari saya tanamkan minat untuk memasak. Semenjak dari itu saya cuba mencari resepi-resepi baru untuk dicuba walaupun memasak bukan lagi hobi utama hingga hari ini. Saya cuba memasak setiap hari untuk keluarga walaupun ringkas dan tidak sesedap mana. Saya percaya, air tangan ibu boleh mengikat hubungan kekeluargaan. Selain dari itu memasak sendiri lebih menjimatkan dan menjamin makanan yang halal dan berkhasiat, In shaa Allah. Tidak perlu pujian tetapi cukuplah ucapan dari anak ' Terima kasih mak! Mak  masak macam Chef! :)"


____________________________________________________
Hubungi saya, Suhaila Rahim melalui:

Emel: 
suhailarahim@gmail.com

SMS/whatsapp: 013 684 4409
Facebook: Suhaila Rahim




Friday 22 November 2013

Perancangan Kewangan

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google





Elemen-elemen dalam Perancangan Kewangan


Pengurusan aliran tunai- menilai nilai bersih kewangan yang ada sekarang iaitu baki wang yang tinggal setelah ditolak dengan semua hutang. Ini secara amnya akan menunjukkan kepada anda sama ada anda bakal menikmati kebebasan kewangan atau mengalami masalah kewangan. Pengurusan ini melibatkan belanjawan,  usaha untuk melangsaikan hutang dan membuat tabungan.


Perancangan Pelaburan - anda juga perlu menimbangkan di mana hendak melaburkan wang itu dengan matlamat untuk mendapat pulangan lebih tinggi dibandingkan dengan akaun simpanan yang biasa. Satu strategi pelaburan perlu dibentuk supaya anda mendapat kejayaan besar dalam mencapai matlamat kewangan anda.

Perancangan Takaful -sila pastikan supaya semua aset dan keluarga anda dilindungi oleh perlindungan takaful secukupnya. Kematian adalah pasti, bagaimana pula dengan keilatan/lumpuh, penyakit kritikal, kemalangan dan bermacam-macam lagi musibah yang mungkin menimpa kita. Adakah kita bersedia dari segi kewangan untuk menghadapi musibah ini. Bagaimana pula dengan kos rawatan hospital yang tinggi? Adakah kita ingin menggunakan duit simpanan untuk menampung kos perubatan. Perlindungan komprehensif akan membantu anda menghadapi pelbagai risiko dan ia juga dapat digunakan untuk persediaan pelan persaraan dan pendidikan anak.

Perancangan Cukai - perancangan cukai membabitkan strategi untuk menikmati yang terbaik daripada pendapatan, saham, harta tanah dan harta lain yang anda miliki. Ingat, anda bukan hendak melarikan diri dari membayar cukai tetapi anda belajar kaedah untuk mengurangkan cukai yang perlu dibayar.

Perancangan Persaraan - perlu merancang simpanan untuk persaraan kerana anda tidak akan bekerja sepanjang hayat. Pelan kewangan yang efektif boleh menampung perbelanjaan semasa mencapai umur persaraan .

Perancangan Pengagihan Harta (wasiat) - mempunyai perancangan harta atau wasiat dapat memastikan kehendak anda terhadap kedudukan masa hadapan keluarga akan dilaksanakan. Selain itu, perancangan harta atau wasiat dapat menyediakan kedudukan kewangan yang kukuh untuk keluarga anda, memastikan harta anda terpelihara dan diberikan kepada waris-waris anda, serta mengelakkan perselisihan antara ahli keluarga. 



Buku: Cinta di Rumah Hasan Al Banna

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google




Buku ini pernah dipinjamkan oleh seorang teman  sepejabat suatu ketika dulu. Saya sangat terkesan dengan kisah-kisah yang dikongsi oleh anaknya. Kisah bagaimana seorang tokoh yang hebat iaitu Syeikh Hassan yang juga pemimpin kepada gerakan Ikhwan Muslim membentuk rumahtangga yang berjaya. 


Kita semua sedia maklum akan kesibukkan Syeikh Hassan di mana masanya banyak digunakan untuk dakwah dan beliau banyak bergerak dari satu tempat ke satu tempat dalam menggerakkan ummah ketika itu. Beliau mempunyai 6 orang cahayamata yang berjaya.

Antara kelebihan beliau dalam membentuk keluarga:-

i) Sesibuk mana beliau,Sheikh Hassan akan memastikan untuk makan bersama dengan keluarga dan akan menggunakan kesempatan tersebut dalam memberi hak beliau terhadap keluarganya.

ii) Tidak pernah meninggikan suara samada pada anak atau isterinya nya walaupun ada tikanya beliau berada dalam keadaan tertekan.

iii) Mengambil berat tentang hal-hal anaknya.Beliau menyimpan data dan carta setiap anaknya yang antaranya ialah tarikh kelahiran, nombor kelahiran, sejarah penyakit anak, pelajaran anak-anak, disiplin anak-anak dan sebagainya. Catatan ini dibuat sebagai rujukan kepada beliau dikala dia keluar dakwah, beliau masih mengikuti perihal anak-anaknya

iv)Menyediakan keperluan rumah- beliau akan memastikan keperluan rumah mencukupi dan mencatakan keperluan tersebut samada mencukupi atau tidak. 

v) Dalam kesibukan, beliau masih sempat mengikuti perkembangan pelajaran anak-anak nya dan memastikan anak-anaknya tidak ketingalan dalam pelajaran. Beliau sendiri akan menghubungi guru-guru jika anak-anaknya lemah dalam mata pelajaran tersebut.

vi) Beliau mengambil berat mengenai displin anak-anak dan mengambil berat tentang bahan bacaan yang dibaca oleh anak-anaknya. Jika anak-anaknya didapati membaca bahan bacaan yg tidak manafaat maka beliau akan memberi buku dan menasihatkan anaknya dengan cara terbaik.

v) Memastikan anak-anaknya mendapat belanja persekolahan dan mendidik anak-anak membuat tabungan. Antara yang unik, Sheikh Hassan akan menyiapkan keperluan wang untuk anak-anaknya secara terperinci iaitu lengkap dengan belanja harian, belanja mingguan dan bulanan.

vi)Tidak menyusahkan isterinya. Pernah ketika mana beliau balik membawa sahabatnya di waktu malam dan isterinya telah tidur. Syeikh Hassan tidak mengejutkan isterinya malah beliau sendiri meyediakan minuman dan makanan untuk tetamunya itu.

vii)Amat teliti ketika balik rumah di waktu malam. Beliau akan membuka pintu dengan kunci secara perlahan dan tidak menggangu isteri serta anak-anaknya.

viii)Mempunyai perwatakan yang sangat dicontohi dan dihormati oleh anak-anaknya

Sebenarnya banyak lagi contoh yang diceritakan oleh anaknya dalam buku tersebut. Semoga sedikit perkongsian ini dapat menyedarkan kita khususnya kaum bapa bahawa peranan mendidik anak-anak harus dipikul sepenuhnya oleh sibapa dan siibu menjadi pelengkap kepada terbinanya generasi anak-anak soleh dan solehah. dalam lengkap melengkapi antara satu sama lain.

Dapatkan naskah anda di sini


---------------------------------------------------------------

Akademi Bekerja di Rumah (ABDR) kini membuka peluang kepada mereka ingin menempah blog melalui Pakej Tempahan Membuat Blog ABDR. Terbuka kepada semua terutama bagi usahawan-usahawan yang tidak dapat menghadiri kelas online yang kami tawarkan. Tawaran ini dibuka dengan harga promosi RM200 sahaja. Anda boleh memilih salah satu Pakej Blog berikut:

i.            Satu Blog untuk kegunaan Penulisan/Peribadi
            ATAU
ii.           Satu Blog untuk Bisnes

Hanya RM200 sahaja (JIMAT RM100)



Blog yang ditempah meliputi:

 Borang tempahan
Penambahan gajet - 5 Label
 Link fanpage/facebook
10 foto produk untuk dimasukkan ke dalam blog bersama keterangan produk.

***Bonus juga akan diberikan



Jika berminat hubungi saya:

Emel: suhailarahim@gmail.com
SMS/whatsapp: 013 684 4409
Facebook: Suhaila Rahim