='description'/>

Friday, 24 January 2014

Pengajaran dari satu kisah

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google


Bismillah.. Malam Jumaat yang lepas berkesempatan menonton Forum Hal Ehwal di RTM1. Antara Panel yang diundang ketika itu ialah Ustaz Badlishah  dan Ustazah Dr Sharifah Hayati menghuraikan Hadis Nabi berkaitan dengan keadaan umat Islam akhir zaman.

Sebuah hadis diriwayatkan daripada Thauban r.a bahawa Rasulullah SAW bersabda, yang bermaksud:"setelah aku wafat, setelah lama aku tinggalkan, umat islam akan lemah. Diatas kelemahan itu, orang kafir akan menindas mereka bagai orang yang menghadapi piring dan mengajak orang lain makan bersama." Maka para sahabat pun bertanya, "Apakah ketika itu umat islam telah lemah dan musuh menjadi kuat?" Sabda Baginda SAW:"Bahkan masa itu mereka lebih ramai tetapi tidak berguna, tidak beerti dan tidak menakutkan musuh. Mereka adalah ibarat buih di lautan." sahabat bertanya lagi,"Mengapa seramai itu tetapi seperti buih di laut?" Jawab Rasulullah SAW, " Kerana ada dua penyakit, iaitu mereka ditimpa penyakit Al-Wahn." sahabat bertanya lagi, " Apakah itu Al-Wahn?" Rasulullah SAW bersabda:"Cintakan dunia dan takut akan kematian."

Perumpamaan masyarakat Islam yang diibaratkan seperti buih-buih di sungai. Jumlahnya sangat banyak tetapi seperti realiti buih yang pernah kita lihat, ia mudah hilang dan hanya mengikut arus sungai yang deras serta mudah dimusnahkan oleh batu-batu dan akar kayu yang melanggarnya.

Pada pendapat saya, perbincangan dan huraian yang diberikan oleh kedua-dua panel sangat menarik dan berjaya dikupas dengan jelas dan panjang lebar. Namun ada satu kisah yang dikongsi oleh Ustaz Badlishah mengenai gambaran masalah umat Islam sekarang. Ceritanya ringkas tetapi banyak pengajaran daripada mesej yang hendak disampaikan dari kisah tersebut. 

Kisah ini mengenai seorang anak yang baru dibelikan seluar baru untuk dipakai untuk menyambut hari raya keesokan harinya. Malangnya seluarnya agak labuh sedikit dan dia meminta bantuan ibunya untuk memotong 1 inchi daripada panjang seluarnya itu. Namun permintaanya tidak dipenuhi ketika itu kerana ibu agak sibuk menyediakan persediaan hari raya.  

'Mak sibuk sekarang, nanti kalau mak ingat mak potongkan." kata ibunya

Anak ini tidak berputus asa lalu meminta bantuan kakaknya. Namun mendapat jawapan yang sama kerana masing-masing sibuk membuat persiapan.

Permintaan seterusnya diajukan kepada si ayah. Si ayah segera menunaikan permintaannya ketika itu juga. Seluar itu dipotong 1 inchi seperti yang diminta. 

Bila sampai waktu malam, si ibu teringat dengan permintaan anaknya, lalu dia memotong 1 inchi lagi seluar tersebut. Ini menjadikan seluar telah dipotong 2 inchi.

Bila malam sudah agak lewat, si kakak pula teringat tentang permintaan adiknya itu, lalu memotong satu inchi lagi seluar adiknya. 

Keesokkan harinya, seluar tersebut dipakai oleh anak kecil tersebut dan didapati seluarnya singkat 3 inchi dari yang sepatutnya.

Pengajaran ringkas dari kisah ini, sepatutnya dalam keluarga tersebut perlu mengkhususkan hanya seorang sahaja yang menjahit. Kita tidak boleh buat semua perkara dalam satu masa. Ini boleh dipraktikkan dalam kehidupan umat Islam. Perbezaan antara kita perlu dijadikan sebagai satu kelebihan untuk kita lebih mengkhusus dalam satu perkara. Ini akan mewujudkan  semangat bantu-membantu antara satu sama lain dalam satu jemaah.

Semoga bermanfaat!


___________________________________________________

Hubungi saya, Suhaila Rahim melalui:

Emel: 
suhailarahim@gmail.com
SMS/whatsapp: 013 684 4409
Facebook: Suhaila Rahim


No comments:

Post a Comment