='description'/>

Monday 28 October 2013

Pelaburan dalam Skim Unit Amanah

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google

Skim Unit Amanah atau 'Unit Trust Scheme' adalah satu bentuk pelaburan yang dibuat secara kolektif yang membolehkan pelabur-pelabur yang mempunyai matlamat yang sama mengumpulkan wang mereka dan kemudiannya dilaburkan ke dalam portfolio sekuriti atau aset lain yang diuruskan professional pelaburan. 

Berbanding dengan situasi di pasaran saham yang biasa kita tahu, pelaburan unit amanah adalah bentuk pelaburan secara beramai-ramai ke dalam satu dana yang diuruskan oleh suatu syarikat pengurusan dana yang dipanggil “Syarikat Pengurusan Unit Amanah” atau ringkasnya UTMC (Unit Trust Management Company). UTMC ini akan melaburkan wang yang terkumpul dalam pelbagai portfolio yang diluluskan seperti sekuriti, bon ataupun aset-aset lain dalam syarikat-syarikat yang tersenarai di Bursa Malaysia atau pasaran ekuiti di luar negara. UTMC ini mestilah yang diluluskan oleh Suruhanjaya Sekuriti (SC) dan terikat dengan beberapa akta perundangan. Selain daripada SC, beberapa pihak lain juga terlibat dalam mengawal-selia industri skim unit trust ini demi menjaga kepentingan pelabur-pelabur, antaranya ialah Pemegang Amanah (Trustees), Juruaudit, FMUTM dan Kementerian Kewangan. Berdasarkan statistik yang dikeluarkan oleh SC pada 31 Ogos 2013 menunjukkan bahawa, terdapat 40 buah UTMC yang menguruskan dana amanah yang konvensional dan yang patuh syariah.

Dalam skim Unit Amanah, pelabur-pelabur tidak membeli sekuriti/saham secara terus dalam portfolio. Pemilikan dana (portfolio) akan dibahagikan kepada unit dan pelabur-pelabur dikenali sebagai ‘pemegang unit’ (unit-holders). Pelabur-pelabur bukan sebagai pemegang saham dalam sesuatu syarikat yang dilaburkan, sebaliknya merupakan benefisiari di bawah amanah yang diwujudkan oleh UTMC. Mengikut perlembagaan atau ‘surat ikatan’ (the deed) dalam skim ini, pemegang amanah (trustee) mesti dilantik untuk menjaga kepentingan pelabur. Trustee adalah pemilik sah ke atas semua aset dalam skim unit trust bagi pihak pemegang unit. 

Nilai atau harga satu unit dalam skim unit aanah dikenali sebagai 'Nilai Aset Bersih' atau 'Net Asset Value (NAV)'. Satu unit dalam skim unit dalam unit amanah merupakan 'bahagian' berkadar daripada jumlah pelaburan yang terkumpul. Sekiranya nilai pelaburan dalam portfolio skim unit amanah  meningkat atau menurun, maka NAV juga akan turut meningkat atau menurun. Jika dibandingkan dengan skim unit amanah yang diuruskan oleh kerajaan (contohnya ASB) di mana portfolio tidak tertakluk kepada perubahan nilai, NAV ditetapkan pada RM1.00. Harga saham pula akan berubah-ubah pada setiap kali urusniaga. NAV bagi sesuatu dana unit amanah hanya dikira pada setiap penutup hari urusniaga dan maklumat tersebut akan disiarkan dalam beberapa akhbar utama atau halaman web UTMC berkenaan pada keesokan hari urus niaga. Pulangan atau 'returns' pelaburan akan dibuat dalam bentuk agihan atau dividen (cash distribution), tambahan nilai modal (capital gains) atau melalui pecahan unit (unit split).
  

Skim unit trust memberi peluang pelaburan untuk pelabur-pelabur kecil mengakses dengan mudah pelbagai jenis pelaburan yang pada kebiasaannya sukar diakses. Mungkin dengan modal yang kecil kita tidak mampu secara langsung untuk melabur dalam syarikat-syarikat besar seperti Telekom, TNB dan sebagainya. Ini kerana untuk membeli satu lot saham-saham tersebut memerlukan modal yang besar serta perlu menanggung kos-kos lain seperti kos broker saham dan lain-lain lagi. Oleh itu dengan pelaburan unit amanah kita boleh melabur dalam saham-saham ini walaupun dalam jumlah yang kecil dalam pelbagai jenis syarikat. Konsep ini dipanggil kepelbagaian atau 'diversification’ yang mana dapat membantu pelabur untuk mengurangkan risiko berbanding jika melabur dalam satu satu portfolio sahaja.


No comments:

Post a Comment