='description'/>

Saturday 23 November 2013

Wanita dan memasak

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google

Pada dasarnya saya bukan wanita yang pandai memasak. Tambahan pula, memasak bukan bidang saya sejak kecil. Di rumah, saya jarang diharapkan dengan kerja memasak oleh keluarga. Memandangkan saya mempunyai kakak dan adik perempuan yang pandai memasak, saya jarang melibatkan diri aktiviti-aktiviti di dapur kecuali membasuh pinggan. Ketika itu saya lebih rela mengambil tugas menyapu walau sekeliling rumah, membasuh baju dan menjaga adik-adik yang masih kecil. Dalam pada itu juga saya mengambil inisiatif belajar masak secara teori sahaja memandangkan sering mendapat sindiran dan usikan adik beradik tentang keperluan kemahiran memasak bagi seorang anak perempuan.

Saya mula tinggal di asrama sejak dari umur 10 tahun sehingga ke tingkatan 5. Keputusan peperiksaan SPM yang kurang memuaskan, tidak melayakkan saya untuk memohon menyambung pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Saya menyambung pelajaran ke Tingkatan 6 di sebuah sekolah swasta di Johor. Saya menyewa sebuah rumah dengan tiga orang kawan. Ketika inilah satu kejutan bagi saya apabila perlu mengambil giliran untuk memasak. Sejak dari itulah saya mula belajar memasak. Ada ketika terpaksa berhubung dengan mak atau adik bertanya resepi. Sesekali seronoknya juga dapat menjamu kawan-kawan masakan sendiri dan dalam masa yang sama boleh merasa masakan kawan-kawan lain . Kebetulan juga kami datang dari daerah yang berbeza. Secara tidak langsung boleh belajar resepi-resepi baru dari mereka.

Alhamdulillah, dari hari ke hari saya tanamkan minat untuk memasak. Semenjak dari itu saya cuba mencari resepi-resepi baru untuk dicuba walaupun memasak bukan lagi hobi utama hingga hari ini. Saya cuba memasak setiap hari untuk keluarga walaupun ringkas dan tidak sesedap mana. Saya percaya, air tangan ibu boleh mengikat hubungan kekeluargaan. Selain dari itu memasak sendiri lebih menjimatkan dan menjamin makanan yang halal dan berkhasiat, In shaa Allah. Tidak perlu pujian tetapi cukuplah ucapan dari anak ' Terima kasih mak! Mak  masak macam Chef! :)"


____________________________________________________
Hubungi saya, Suhaila Rahim melalui:

Emel: 
suhailarahim@gmail.com

SMS/whatsapp: 013 684 4409
Facebook: Suhaila Rahim




No comments:

Post a Comment