='description'/>

Thursday 16 January 2014

Kisah antara Lobak, Telur dan Kopi

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google
 

Ini cerita biasa yang biasa kita baca. Tetapi kisah tersirat disebaliknya menjadikan ia luar biasa. Baca kisah ini, supaya kita lebih tabah dalam menharungi hari-hari mendatang dengan cekal dan moga Allah mudahkan urusan kita ini. Jom jadi seperti kopi. Semoga bermanfaat!

Antara Lobak, Telur dan Kopi

Seorang anak mengeluh kepada ayahnya mengenai perjalanan kehidupannya, dan menanyakan bahawa mengapa hidup ini terasa begitu sukar dan sungguh menyakitkan baginya.

Anak tersebut mengeluh. Tidak tahu bagaimana menghadapinya. Seolah-olah dia seperti sudah menyerah kalah dengan segala masalah dan ujian yang datang berterus-terusan dalam hidupnya. Setiap kali selesai satu masalah, timbul pula masalah dan ujian yang baru. Lebih sukar, lebih berat.


Ayahnya, yang merupakan seorang tukang masak membawa anaknya ke dapur. Lalu dia mengisi tiga buah periuk dengan air dan menaruhnya di atas nyalaan api. Setelah ketiga-tiga periuk yang diisi air tersebut mendidih, si ayah terus meletakkan lobak merah ke dalam periuk yang pertama, telur di periuk kedua dan serbuk kopi ke dalam periuk yang ketiga.

Si ayah membiarkannya mendidih tanpa berkata-kata. Si anak pula, dia tertanya-tanya dan menunggu dengan tidak sabar sambil fikirannya berpusing-pusing memikirkan apalah yang sedang dikerjakan oleh ayahnya.

Setelah 20 minit, ayahnya mematikan api lantas menyisihkan lobak dan menaruhnya di mangkuk yang pertama. Telur diangkat dan diletakkan di mangkuk yang kedua pula, dan begitu juga pada serbuk kopi, dituangnya ke dalam mangkuk yang lainnya.

Si ayah bertanya kepada anaknya.

"Apa yang engkau lihat, nak?" tanyanya.

"Lobak, telur dan kopi, ayah," Jawab si anak, ringkas.

Ayahnya terus mengajak anaknya mendekati mangkuk-mangkuk yang telah diisi dengan ketiga-tiga barang tadi.

Perkara pertama yang dilakukannya adalah menyuruh si anak merasakan lobak. Lantas, dia menyatakan bahawa lobak tersebut sangat enak dan terasa lembut.

Kemudian, ayahnya menyuruh untuk mengambil telur dan memecahkannya. Setelah membuang cangkerang telur tersebut, si anak melihat dan mendapati sebuah telur rebus yang mengeras.

Akhirnya, si ayah meminta anaknya untuk merasa dan mencicip sedikit air kopi tersebut. Anaknya, yang hanya tersenyum seketika selepas merasakan rasa dan aroma istimewa kopi tersebut, terus bertanya kepada ayahnya.

"Apa erti semua ini, ayah?" Tanyanya.

Ayahnya menerangkan satu-persatu.

Ketiga-tiga barang tersebut telah menghadapi kesulitan yang sama, iaitu perebusan yang hakikatnya adalah panas. Namun, masing-masing menunjukkan reaksi berbeza.

Lobak, asalnya adalah keras dan sukar dipatahkan. Setelah direbus, lobak ternyata berubah menjadi lembut, lunak.

Telur, sebelumnya adalah cecair, mudah pecah. Akhirnya, isinya berubah menjadi pepejal, keras.

Serbuk kopi adalah yang paling unik. Setelah serbuk kopi dimasukkan ke air, kopi menjadi sedap.

Ketiga-tiganya melalui satu kesulitan yang sama, iaitu perebusan. Hasilnya, ketiga-tiga barang yang asalnya lain sifat, berubah kepada sifat yang lain setelah melalui proses perebusan tadi. Yang keras menjadi lembut, yang lembut menjadi keras dan sebagainya.

"Kamu termasuk yang mana?" Tanya ayahnya.

"Air panas yang mendidih itu, adalah umpama kesukaran dan ujian yang engkau lalui. Ketika kesukaran dan kesulitan datang menghampirimu, bagaimana engkau menghadapiya?" Kata si ayah.

"Apakah kamu seperti lobak, telur atau kopi?" Sambungnya.

Si anak, bagaikan terketuk hatinya. Seakan diberi satu petunjuk.

Allah telah berfirman :

"Apakah manusia mengira bahawa mereka dibiarkan mengatakan: Kami telah beriman. Sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang sebelum mereka dan benar-benar Allah mengetahui orang-orang yang benar dan mengetahui pula orang-orang yang dusta," 
(Surah al-Ankabut ayat 2-3)


Antara kita, ada yang apabila menerima ujian, dia nafikan semua itu. Lalu dengan pantas dia menuduh bahawa Allah ini dengan sengaja turunkan pada dia masalah, supaya dia hidup dalam kesulitan.


Lalu dikatakan Allah itu tidak adil. Allah itu begini, begitu dan sebagainya. Ya, dia malah semakin tersesat jauh.

Walaupun satu ketika nanti, masalah dan kesulitan tersebut lari dan terbang dari hidupnya, sesungguhnya, dia masih belum berjaya manghadapi ujian tersebut.

Kita seharusnya sedar, bahawa ujian itu adalah dari Allah. Sepatutnya, semakin berbisa ujian, semakin dekat kita dengan-Nya. Kerana pada-Nya sahaja kita pohon kekuatan.

Nampak? Sungguh, Allah itu Maha Adil. Dia tahu yang terbaik buat kita. Justeru, kita kena belajar daripada kisah ini.

Apakah kita seperti lobak? Asalnya kita keras, kelihatan keras dan memang keras. Namun, apabila dihadirkan kesulitan dan ujian, kita dengan pantas menyerah. Kita terus menjadi lemah, lembut dan hilang kekuatan.

Atau, apakah kita telur? Yang awalnya memiliki hati yang lembut, jiwa yang lunak. Setelah hadirnya masalah dan kesusahan, kita gagal dalam persahabatan dan sebagainya, kita lalu menjadi keras dan kaku. Luaran kita seperti asal, iaitu mempunyai cengkerang, namun dalaman menjadi pahit dan keras.

Ataupun, kita ini seperti kopi? Apabila panas, rasanya adalah begitu nikmat.

Ketika sesuatu keadaan menjadi semakin buruk, dan diri kita ditimpa semakin banyak ujian dan kesulitan, maka kita akan menjadi semakin baik dan semakin hebat sehingga jiwa-jiwa yang bersama dengan kita juga berasa baik dan selesa dengan kita. Justeru, kita ketuk hati kita. Tanyalah ia dengan azam. Latihlah, dan disiplinkanlah diri ini. Agar menjadi seperti kopi.


----------------------------------------------------
Hari ke 16, selamat datang 25 pelajar baru Januari 2014, 21 kelas 13 guru online dedikasi bertugas. Insya-Allah. Kami menawarkan kelas berikut.
1. Kelas asas blog dan penulisan
2. Kelas asas blog dan fanpage-mula bisnes
3. Kelas belajar iklan mudah.my
4. Kelas penulisan kreatif
5. Pendaftaran rakan niaga/pengurus online-bonus bulan ini slot percuma kelas online urus akaun wahm/soho
6. Kelas akaun wahm soho

PM saya Rafisuhaila Rahim untuk pendaftaran.


No comments:

Post a Comment