='description'/>

Saturday, 30 November 2013

Kepentingan Wasiat dalam masyarakat Islam (Bahagian 2)

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google


1. Harta terbeku - Apabila berlaku kematian kesemua harta yang dimiliki akan terbeku dan tiada transaksi dibenarkan atas tersebut sehingga ada wakil simati berjaya menguruskan harta tersebut sebaiknya. Jika berlaku masalah dalam pengurusan harta menyebabkan hara terbeku sekian lama. Inilah antara punca apabila lebih RM40 bilion harta telah terbeku di Malayisa yang merangkumi RM38bilion adalah tanah dan hartanah, RM1.5 billon di “Registrar of Unclaimed Monies”, RM70juta di KWSP dan lebih kurang 1 juta tanah atas nama orang yg telah meninggal dunia. Ianya sangat merugikan jika di pandang daripada pelbagai sudut.

2.Wasi - Antara perkara terpenting dalam menulis wasiat ialah melantik Wasi. Wasi boleh dipilih dikalangan individu atau badan-badan amanah yang ditentukan oleh pewasiat dalam dokumen Wasiat sebagai pihak yang bertanggungjawab untuk mentadbir dan mengagihkan harta si mati kepada yang layak. Perlantikan wasi yang betul dan berkelayakan sangat penting untuk memastikan semua urusan pembahagian harta secara professional. Adalah dinasihatkan supaya pewasiat mengutamakan Wasi dikalangan badan-badan amanah yang bertauliah berbanding dengan mana-mana individu supaya mengelakkan berlaku masalah dikemudian hari. Secara amnya tugas Wasi adalah sangat rumit kerana perlu berhubung dengan pihak-pihak berkaitan dengan harta simati. 

3. Penjaga (Guardian) - Dalam dokumen wasiat juga anda boleh menentukan penjaga harta bagi anak-anak yang masih di bawah umur.Justeru anda boleh melantik penjaga yang anda fikirkan layak untuk diamanahkan harta anak anda sebelum mereka mencecah umur majoriti  18 tahun setelah kematian anda.


4.Menjimatkan masa dan kos - Dengan menulis wasiat dan melantik WasiI yang professional akan mempercepatkan proses tuntutan dan pengagihan harta anda kepada waris. Ini kerana dengan adanya dokumen wasiat tiada persetujuan setiap waris faraid diperlukan untuk surat kuasa mentadbir.Oleh itu masa dapat dijimatkan. Banyak kes menunjukkan tanpa dokumen wasiat harta-harta simati tidak dapat diagihkan dengan baik dan tertangguh bertahun-tahun. Ini pasti akan menyulitkan waris lebih-lebih lagi jika ada waris yang  berumur bawah 18tahun.

5. Menjelaskan hutang. Wasi yang dilantik perlu menjelaskan hutang-hutang si mati. Hutang boleh dipecahkan pada dua iaitu hutang dunia seperti hutang dengan manusia, institusi, dan sebagainya. Hutang akhirat pula seperti Haji yang tidak dilaksanakan setelah mampu (badal haji), zakat yang belum dilaksanakan, fidyah/kaffarah puasa dan lain-lain. Persoalan hutang memberi implikasi yang besar pada perjalanan kita di alam barzakh dan alam akhirat.Ini kerana kematian tidak menidakkan tangunggjawab kita melunaskan hutang.

6.Pembahagian Faraid yang betul - Pembahagian dan pengagihan harta pusaka memerlukan pengetahuan Ilmu Faraid kerana ada nisbah kiraan yang layak diterima oleh waris Faraid simati. 

Friday, 29 November 2013

Hasil dari laman...

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Koleksi Peribadi 

Alhamdulillah, berkat pagi Jumaat. Pagi ini dapat meninjau seketika pokok-pokok tanaman yang terbiar sekian lama.  Malang pokok ni dapat tuan macam saya. Hanya mengharap air hujan untuk menyambung nyawa. Harapkan tuan rumah yang selalu lupa nak menyiram. Hasilnya pokok cili saya tidak berbuah sekian lama. Kebetulan musim tengkujuh sekarang agaknya, beberapa pokok cili saya mula berbuah. Alhamdulillah, berhasil juga nampaknya. Walaupun tuannya hanya rajin menanam tapi culas dan selalu lupa nak menjaga. Dalam seminggu ni boleh juga jimat belanja dari membeli cili. Syukur... :) 


Tuesday, 26 November 2013

Takaful Berkaitan Pelaburan

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google


Takaful berkaitan Pelaburan adalah salah satu pelan Takaful Keluarga yang menggabungkan pelaburan dan perlindungan takaful. Caruman anda akan memberi perlindungan takaful, termasuk manfaat kematian dan hilang upaya, dan sebahagian daripada caruman akan dilaburkan dalam pelbagai dana pelaburan pilihan anda yang dibenarkan oleh Syariah.





Takaful berkaitan Pelaburan akan mengagihkan caruman anda kepada dua bahagian. Satu bahagian adalah untuk caruman penyertaan (tabarru’) yang digunakan untuk membantu peserta yang memerlukannya, contohnya jika mereka dilanda musibah seperti kematian atau kecacatan.

Bahagian selebihnya digunakan untuk membeli unit-unit berkaitan pelaburan. Anda sendiri boleh memilih mana-mana dana pelaburan yang dibenarkan syariah untuk melaburkan bahagian anda. Unit-unit berkaitan pelaburan ini akan diuruskan oleh pengendali takaful, yang akan mengenakan fi (ujrah) untuk khidmat yang diberikan.

Sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tempoh takaful, anda layak berkongsi lebihan dalam dana takaful, berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui oleh anda dan pengedali takaful. Bahagian lebihan anda akan digunakan untuk membeli unit-unit berkaitan pelaburan tambahan.


Takaful berkaitan Pelaburan mempunyai ciri-ciri unik seperti berikut:


- Anda diberi kelonggaran memilih paras perlindungan dan pelaburan
- Anda boleh mengubah jumlah caruman mengikut perubahan kedudukan kewangan anda.
- Anda boleh menukar dana pelaburan yang sedia ada kepada dana pelaburan lain
- Anda boleh menebus sebahagian daripada unit berkaitan pelaburan anda pada bila-bila masa
- Anda boleh memilih untuk melabur dalam pelbagai jenis dana pelaburan (ekuiti, bon atau instrumen kewangan lain)

Perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memilih Takaful berkaitan Pelaburan:

1) Menentukan peruntukan sumbangan anda untuk perlindungan dan pelaburan
2) Mempertimbangkan jumlah yang ingin dilaburkan, sama ada pelan caruman sekali atau pelan caruman berkala
3) Menilai pilihan dengan bijak dalam mencari pelan yang sesuai dengan keperluan anda
4) Mengetahui jenis-jenis dan jumlah caj dan fi yang dikenakan seperti fi pengurusan dan lain-lain yang mungkin dikenakan untuk perkhidmatan yang diberikan.
5) Mengetahui fleksibiliti pertukaran dana anda.



·         

Monday, 25 November 2013

Bertambah umur setahun lagi!


Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google

Alhamdullillah. Hari ini berginjak lagi setahun umur yang Allah bagi. Syukur dengan nikmat pemberian Mu ya Allah. Pagi-pagi lagi sudah menerima ucapan dari suami, keluarga dan sahabat-sahabat yang masih mengingati hari yang menginjak tua ni. Terima kasih juga pada pakcik ‘Digi’, ‘Pusat Zakat NS’, ‘Tesco’, ‘Watson’ dan Makcik ‘Huggies’ yang tak pernah lupa menghantar mesej kepada pelanggan setianya  ini.. :)

Pagi ini sedikit sibuk. Anak-anak saudara datang bertamu di hantar oleh kakak yang ada urusan di sekolah. Lumrah anak-anak sesekali berjumpa riuh rendah jadinya. Rumah yang kecil sudah bertukar macam taska, gamat dengan hilai tawa dan adakala diselang tangisan. Hari ini tugas memasak dan melayan kanak-kanak riang menjadi mudah, bila ada bibik kakak yang turut membantu. Menu hari ini sambal ayam bersama kacang panjang masak kicap jadi santapan tengahari. Alhamdulillah..


Sunday, 24 November 2013

Kepentingan wasiat dalam masyarakat Islam (Bahagian 1)

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google

Wasiat adalah dokumen bertulis yang mengandungi ikrar ataupun hajat seseorang yang dibuat ketika hayatnya ke atas harta atau manfaatnya untuk dilaksanakan selepas kematiannya.

Rata-rata rakyat Malaysia terutamanya yang beragama Islam hari ini kurang pengetahuan tentang wasiat. Wasiat sering disalahertikan di mana ramai yang beranggapan wasiat adalah kata-kata atau pesanan seseorang mengenai hartanya sebelum meninggal dunia.

Masyarakat Islam harus sedar bahawa penulisan wasiat bukanlah bermatlamat untuk menidakkan hukum faraid. Penulisan wasiat bertujuan memudahkan proses pentadbiran dan pengagihan harta pusaka dan sekali gus nasib waris-waris dapat dipelihara. 

Berikut adalah antara masalah-masalah yang kerap timbul akibat ketiadaan wasiat:

a)    Proses pengagihan harta pusaka berlarutan sehingga bertahun-tahun
b)    Nasib waris-waris tidak terbela khususnya anak-anak yang berumur 18 tahun ke bawah
c)    Suami / isteri tidak mendapat bahagian harta sepencarian
d)    Hutang tertunggak
e)    Proses perundangan yang menyulitkan waris-waris
f)     Hubungan kekeluargaan di kalangan waris-waris terjejas
g)    Manipulasi terhadap harta pusaka
h)    Perniagaan tidak dapat diteruskan

Ramai yang masih berandaian bahawa harta-harta seseorang akan secara automatik diagihkan kepada wars-waris setelah berlaku kematian. Tetapi malangnya, pelbagai proses yang kompleks perlu dilalui oleh waris-waris sebelum harta peninggalan dapat diagihkan. Melihat realiti semasa, kita dikejutkan laporan akhbar RM42 bilion harta orang Islam di Malaysia beku membabitkan kes gagal diselesaikan pewaris kerana tiada wasiat. Jumlah yang besar itu memberikan impak buruk kepada perkembangan ekonomi orang Islam.

Individu-individu yang perlu membuat wasiat tidak semestinya yang kaya-raya. Dengan hanya berhartakan contohnya RM5000.00, seseorang itu perlu juga membuat wasiat sama ada harta itu berupa harta alih seperti akaun simpanan atau harta tak alih seperti tanah. Tiada sesiapa yang mahu waris-warisnya bersusah-payah turun naik mahkamah dan sebagainya semata-mata untuk mendapatkan harta peninggalan mahupun dalam usaha melunaskan hutang-hutang si mati.

Nafsu dan perasaan manusia terlalu rumit untuk diramalkan. Keadaan keluarga yang harmoni pada hayat kita boleh bertukar menjadi haru-biru dan berpecah-belah disebabkan kelemahan pentadbiran ataupun perebutan harta peninggalan kita. Justeru itu, ingin ditekankan di sini bahawa, melalui penulisan wasiat, pelbagai komplikasi jangka panjang mahupun jangka pendek boleh dielakkan selain menjamin kesejahteraan institusi kekeluargaan. 

       Tahukah bahawa setelah kematian anda, harta-harta seperti akaun semasa, akaun simpanan di Tabung Haji, ASB, KWSP dan sebagainya akan terbeku dan kebiasaannya waris-waris terpaksa menunggu sehingga beberapa tahun sebelum harta-harta itu dapat diagihkan? Janganlah berlengah lagi dalam melindungi harta anda dan orang-orang yang anda sayangi walaupun anda masih muda. Jangan tinggalkan mereka dengan masalah kewangan ditambah pula dengan prospek sistem perundangan yang menyulitkan. 

        Kini, pelbagai institusi kewangan dan syarikat yang mendaftar menawarkan perkhidmatan mendokumenkan wasiat dan ia boleh dibuat pada bila-bila masa tanpa perlu melantik peguam. Anda juga tidak perlu risau kerana wasiat anda akan disimpan oleh institusi tersebut dan boleh diubahsuai mengikut kesesuaian status semasa anda. Dan yang paling penting kos untuk menyediakan dokumen wasiat anda adalah sangat berpatutan. 

Hari minggu yang tenang...

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google

Alhamdulillah.. pagi yang tenang dan mendamaikan. Menguruskan aktiviti harian seperti biasa. Cuti minggu di rumah shaja memandangkan suami di jadualkan bekerja. Kadang-kadang rasa beruntung bila suami bekerja mengikut 'shift' kerana kami selalunya dapat keluar menguruskan pelbagai urusan di hari-hari biasa ketika dia bercuti. Tidak perlu berebut-rebut dan bersesak-sesak ke pasar raya yang menjadi tumpuan orang ramai bila sampainya hari minggu. Begitu juga dengan urusan-urusan di pejabat-pejabat kerajaan atau urusan perbankan yang lebih mudah dan tidak menyesakkan. 

Hari ini baby tak banyak meragam dan mudah tidur berbanding hari-hari sebelumnya. Usai tugas memasak dan membasuh, dah boleh buka PC untuk mulakan entri. Oleh kerana akses intenet yang ada di rumah tidak berapa baik saya perlu menghidupkan PC lebih awal. Sambil menunggu proses 'loading' yang lambat, boleh menyusukan anak di pangkuan sebelum ditidurkan dalam buaian. Semuanya perlu dibuat dalam keadaan yang senyap memandangkan dia cepat terjaga dari tidur bila terdengar bunyi-bunyi yang bising. 


Bila baby sudah lena, dah boleh mulakan kerja-kerja menaip. Masalah internet yang sangat perlahan, nak 'save' entri pun memerlukan masa. Daripada termenung mengadap PC, saya boleh melipat kain baju yang baru di ambil dari ampaian sambil membuai bayi. Dalam menunggu nak 'preview' dan boleh 'publish' kain pun siap dilipat dan disusun di almari. 

Alhamdulillah.. dapat juga siapkan dua entri hari ini. Banyak lagi entri rupanya dibuat untuk merebut tawaran ebook percuma '101 idea Home based business' tawaran Puan Masayu ni.. Ada tinggal satu hari lagi esok.. hu..huh... macam tipis je harapan. Apapun semoga Allah kuatkan azam dan semangat saya untuk mencapai 44 entri secepat mungkin. In shaa Allah..


Saturday, 23 November 2013

Konsep Takaful

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google


Takaful merupakan satu konsep insurans yang berasaskan muamalat yang berlandaskan hukum syariah dan sebenarnya telah diamalkan sejak lebih 1,400 tahun yang lalu.

Pada asasnya, sistem Takaful berteraskan konsep kerjasama, tanggungjawab, jaminan, perlindungan dan saling membantu di kalangan para pesertanya. Dalam erti kata lain, ia merupakan penyediaan sumbangan yang dikongsi bersama bagi membantu mereka yang memerlukannya. 



Asas falsafah ini adalah berpandukan kepada beberapa hadith Rasulullah s.a.w. yang antaranya:
Dalil Kerjasama
Dan tolong-menolonglah kamu dalam (mengerjakan) kebajikan dan taqwa, janganlah kamu tolong-menolong dalam berbuat dosa dan permusuhan. (Al-Maidah : 2)

    Allah akan sentiasa membantu hamba-Nya selagi mereka saling membantu antara satu sama lain. (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Imam Abu Daud)

Dalil Tanggungjawab
      Ibarat hubungan dan perasaan orang-orang beriman sesama mereka adalah seperti jasad, apabila salah satu daripadanya ditimpa kesusahan, maka seluruh anggota yang lain juga akan merasainya. (Diriwayatkan oleh Imam Al-Bukhari dan Imam Muslim)

Dalil Saling Melindungi
     Demi hayatku yang berada dalam kekuasaan Allah, tiada siapa yang akan masuk Syurga jika beliau tidak melindungi jirannya yang berada dalam kesusahan. (Diriwayatkan oleh Imam Ahmad)

Berasaskan kepada dalil di atas, para ilmuan Islam memutuskan bahawa usaha bersepadu perlu wujud untuk melaksanakan konsep Takaful sebagai kaedah terbaik untuk memenuhi tuntutan ini.

Memahami Kontrak Takaful
       Meskipun konsep insurans dibenarkan di dalam Syariah, terdapat beberapa amalan insurans konvensional yang bercanggah. Amalan Takaful yang dipraktikkan sekarang menggunakan gabungan dua jenis ‘Aqad (kontrak) utama. Ianya adalah kontrak Tabarru’ (derma) dan Wakalah (ejensi) yang bebas daripada sebarang unsur Riba (faedah), Maisir (perjudian) dan Gharar (tidak jelas). Sistem Takaful memberi penekanan terhadap semangat kerjasama dan tanggungjawab sesama para peserta.

     Melalui semangat kerjasama dan tanggungjawab sesama peserta, amalan menyumbang ini memberi peluang kepada para peserta untuk mendapat manfaat dalam dua bentuk keuntungan. Pertama, keuntungan daripada segi kewangan menerusi pelan Takaful itu sendiri. Kedua, “manfaat” daripada segi rohaniah di mana para peserta dapat memenuhi tanggungjawab yang disyariatkan oleh agama dan tuntutan sosial melalui kaedah Tabarru’. Sistem Takaful tidak hanya bermanfaat kepada Muslim sahaja, malah ia turut memberi kebaikan kepada semua peserta tanpa mengira pegangan agama mereka.


Wanita dan memasak

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google

Pada dasarnya saya bukan wanita yang pandai memasak. Tambahan pula, memasak bukan bidang saya sejak kecil. Di rumah, saya jarang diharapkan dengan kerja memasak oleh keluarga. Memandangkan saya mempunyai kakak dan adik perempuan yang pandai memasak, saya jarang melibatkan diri aktiviti-aktiviti di dapur kecuali membasuh pinggan. Ketika itu saya lebih rela mengambil tugas menyapu walau sekeliling rumah, membasuh baju dan menjaga adik-adik yang masih kecil. Dalam pada itu juga saya mengambil inisiatif belajar masak secara teori sahaja memandangkan sering mendapat sindiran dan usikan adik beradik tentang keperluan kemahiran memasak bagi seorang anak perempuan.

Saya mula tinggal di asrama sejak dari umur 10 tahun sehingga ke tingkatan 5. Keputusan peperiksaan SPM yang kurang memuaskan, tidak melayakkan saya untuk memohon menyambung pelajaran ke mana-mana institusi pengajian tinggi. Saya menyambung pelajaran ke Tingkatan 6 di sebuah sekolah swasta di Johor. Saya menyewa sebuah rumah dengan tiga orang kawan. Ketika inilah satu kejutan bagi saya apabila perlu mengambil giliran untuk memasak. Sejak dari itulah saya mula belajar memasak. Ada ketika terpaksa berhubung dengan mak atau adik bertanya resepi. Sesekali seronoknya juga dapat menjamu kawan-kawan masakan sendiri dan dalam masa yang sama boleh merasa masakan kawan-kawan lain . Kebetulan juga kami datang dari daerah yang berbeza. Secara tidak langsung boleh belajar resepi-resepi baru dari mereka.

Alhamdulillah, dari hari ke hari saya tanamkan minat untuk memasak. Semenjak dari itu saya cuba mencari resepi-resepi baru untuk dicuba walaupun memasak bukan lagi hobi utama hingga hari ini. Saya cuba memasak setiap hari untuk keluarga walaupun ringkas dan tidak sesedap mana. Saya percaya, air tangan ibu boleh mengikat hubungan kekeluargaan. Selain dari itu memasak sendiri lebih menjimatkan dan menjamin makanan yang halal dan berkhasiat, In shaa Allah. Tidak perlu pujian tetapi cukuplah ucapan dari anak ' Terima kasih mak! Mak  masak macam Chef! :)"


____________________________________________________
Hubungi saya, Suhaila Rahim melalui:

Emel: 
suhailarahim@gmail.com

SMS/whatsapp: 013 684 4409
Facebook: Suhaila Rahim