='description'/>

Thursday, 5 December 2013

Risiko dalam Pelaburan Amanah

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google


Setiap jenis pelaburan ada risiko, termasuk tabungan di dalam bank. Jangan sangka wang anda pasti selamat dalam bank, kerana seperti yang dilihat di negara-negara lain, bank boleh jatuh muflis. Memang insurans deposit diberikan oleh PIDM, tetapi jumlahnya terhad. Jadi risiko tetap ada. Maka apabila menguruskan wang anda, perkara paling penting ialah menentukan risiko yang sanggup anda tanggung. Jika anda tidak sanggup menanggung risiko, tak perlulah melabur dalam instrumen yang lebih tinggi risikonya. Lebih baik simpan sahaja dalam bank. Namun begitu, potensi pulangan yang anda terima juga terhad. Bagi instrumen yang lebih tinggi risikonya, potensi pulangan juga lebih tinggi.

Terpulang kepada anda untuk menentukan toleransi risiko anda dan memilih pelaburan yang sesuai untuk anda. Sesetengah dana unit amanah mempunyai risiko yang lebih tinggi daripada yang lain. Oleh itu pastikan anda menyemak objektif pelaburan dana dan strategi di dalam prospektus. Semua dana wajib mempunyai prospektus yang sah, yang boleh memberikan segala maklumat lanjut tentang dana. Ini termasuk butiran tentang kelas risiko, pasukan pengurusan, strategi pelaburan dan aset yang boleh dilaburkan.


Walaupun pengurus dana profesional akan menjaga kepentingan anda, ini tidak melepaskan anda daripada tanggungjawab untuk membuat keputusan maklum anda sendiri untuk membeli dana. Walaupun prestasi masa lepas bukan jaminan prestasi masa depan, anda perlu meninjau prestasi dana dalam tempoh beberapa tahun lepas sebelum membuat keputusan akhir. Anda juga boleh membandingkannya dengan indeks pasaran yang berkenaan untuk melihat kedudukannya berbanding pesaingnya.

Setiap dana berbeza dan objektif pelaburan juga berbeza, justeru risiko yang terbabit juga berbeza. Unit amanah boleh dibahagikan kepada empat kategori utama, iaitu ekuiti, seimbang, bon atau pasaran wang. Ramai pelabur perlu mempelbagaikan portfolio dengan menggabungkan keempat-empatnya.

1. Dana ekuiti adalah dana paling tidak stabil antara ketiga-tiganya, dengan nilainya kadangkala naik dan kadangkala turun dengan ketara dalam tempoh yang singkat. Saham dana ini mencatatkan prestasi lebih baik dalam jangka panjang berbanding jenis pelaburan lain. Secara idealnya, anda memerlukan tempoh pelaburan lebih panjang apabila melabur dalam dana ekuiti untuk memastikan anda dapat mengharungi naik turun pasaran.

2. Dana seimbang melabur dalam kombinasi ekuiti dan bon. Dana jenis ini mungkin bertukar antara pegangan ekuiti, yang berpotensi memberikan pulangan lebih tinggi, dan bon yang bersifat lebih konservatif.

3. Dana bon yang juga dikenali sebagai pendapatan tetap, melabur dalam hutang korporat dan kerajaan dengan tujuan memberikan pendapatan menerusi pembayaran kupon. Dana bon lazimnya dimasukkan dalam portfolio untuk menyediakan pendapatan mantap sambil berusaha mengekalkan modal anda. Walaupun biasanya lebih selamat daripada dana ekuiti atau seimbang, masih terdapat risiko jika penerbit hutang gagal membayar balik hutang. Dengan dana bon, anda menjangkakan pulangan lebih rendah dalam jangka masa tertentu berbanding melabur dalam dana ekuiti dan seimbang.

4. Dana pasaran wang melabur dalam hutang jangka pendek yang diterbitkan syarikat korporat atau kerajaan berbanding dana bon. Dana ini mempunyai risiko lebih rendah hampir menyamai kadar deposit tetap.

Kesimpulannya, risiko dan pulangan tidak boleh diasingkan. Lebih tinggi pulangan dijanjikan, lebih tinggi risiko yang perlu anda tanggung. Berhati-hatilah Jika sesiapa berjanji memberikan pulangan tinggi tanpa risiko. Dalam dunia pelaburan tiada cara mudah untuk meraih keuntungan.

No comments:

Post a Comment