='description'/>

Thursday, 12 December 2013

PRS - Skim Persaraan Swasta (Bahagian 1)

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google


Skim Persaraan Swasta (PRS) yang mula ditawarkan kepada orang ramai pada penghujung tahun 2012 adalah merupakan satu skim pelaburan yang dibuat secara sukarela oleh pencarumnya. Skim ini bertujuan membantu rakyat Malaysia yang bekerja swasta untuk membuat simpanan bagi persaraan mereka. Jangan pula keliru, PRS adalah berbeza dengan caruman mandatori yang dibuat dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).  Objektif utama tabungan PRS adalah untuk memastikan setiap pencarumnya mempunyai simpanan dan aset kewangan yang mencukupi untuk kegunaan menjelang persaraan nanti. 

Dengan hanya memberi bukti pengenalan diri seperti kad pengenalan atau pasport, seseorang itu boleh membuka akaun PRS.  Setelah akaun dibuka, mereka akan menerima nombor akaun dan kata laluan untuk digunakan setiap kali ingin melakukan transaksi dalam dana yang di carum.

Setiap PRS mengandungi pelbagai dana persaraan yang boleh dipilih oleh individu untuk melabur berdasarkan keperluan persaraan mereka sendiri, matlamat dan ketahanan risiko. Pilihan dana bawah PRS perlu konsisten dengan objektif membina simpanan dan memastikan tebaran risiko yang berhati-hati. Pilihan dana yang ditetapkan juga bergantung kepada faktor usia. Untuk Dana Berpertumbuhan, bagi mereka yang di bawah umur 40 tahun dan memiliki maksimum ekuiti sebanyak 70%, pelaburan di luar Malaysia adalah dibenarkan.  Begitu juga di bawah Dana Sederhana, bagi mereka yang berumur antara 40-50 tahun dan memiliki maksimum ekuiti sebanyak 60%, mereka juga dibenarkan untuk membuat pelaburan di luar Malaysia.  Namun di bawah Dana Konservatif, bagi mereka yang berumur melebihi 50 tahun, pelaburan di luar Malaysia adalah tidak dibenarkan. Begitu juga jika masih jauh lagi tempoh persaraan, anda mungkin boleh menimbangkan untuk melabur dalam dana yang berisiko tinggi namun boleh memberikan pulangan yang lebih tinggi.  Sebaliknya jika anda hampir bersara, maka lebih baik memilih bentuk pelaburan yang lebih konservatif dan stabil.

Setiap ahli mempunyai pilihan sama ada untuk mencarum dalam satu dana atau lebih daripada satu dana di bawah satu PRS atau mencarum lebih daripada satu dana di bawah PRS yang berlainan.  Jika pencarum merasakan dia perlu untuk menukar dana dalam satu PRS atau bertukar kepada PRS yang lain, maka mereka boleh berbuat demikian tertakluk kepada syarat-syarat yang dikenakan oleh Penyedia PRS.  Namun pertukaran yang pertama hanya boleh dibuat selepas setahun ahli membuat caruman pertama.  Setiap caruman yang dibuat kepada PRS akan dibahagikan kepada sub-akaun A dan B. Apabila pencarum PRS sudah mencecah umur persaraan, mereka berhak untuk mengeluarkan 70% simpanan daripada sub-akaun A mereka manakala baki 30% daripada sub-akaun B pula boleh dikeluarkan setahun sekali selepas itu.  Majikan juga berpeluang membuat caruman kepada PRS untuk pekerjanya dengan menentukan jumlah caruman dan memilih dana yang ditawarkan oleh Penyedia PRS.  Walau bagaimanapun, caruman daripada pihak majikan mungkin berdasarkan syarat-syarat perkhidmatan tertentu.

____________________________________________________
Hubungi saya, Suhaila Rahim melalui:

Emel: 
suhailarahim@gmail.com
SMS/whatsapp: 013 684 4409
Facebook: Suhaila Rahim

No comments:

Post a Comment