='description'/>

Tuesday, 26 November 2013

Takaful Berkaitan Pelaburan

Teks: Suhaila Rahim
Foto: Carian Google


Takaful berkaitan Pelaburan adalah salah satu pelan Takaful Keluarga yang menggabungkan pelaburan dan perlindungan takaful. Caruman anda akan memberi perlindungan takaful, termasuk manfaat kematian dan hilang upaya, dan sebahagian daripada caruman akan dilaburkan dalam pelbagai dana pelaburan pilihan anda yang dibenarkan oleh Syariah.





Takaful berkaitan Pelaburan akan mengagihkan caruman anda kepada dua bahagian. Satu bahagian adalah untuk caruman penyertaan (tabarru’) yang digunakan untuk membantu peserta yang memerlukannya, contohnya jika mereka dilanda musibah seperti kematian atau kecacatan.

Bahagian selebihnya digunakan untuk membeli unit-unit berkaitan pelaburan. Anda sendiri boleh memilih mana-mana dana pelaburan yang dibenarkan syariah untuk melaburkan bahagian anda. Unit-unit berkaitan pelaburan ini akan diuruskan oleh pengendali takaful, yang akan mengenakan fi (ujrah) untuk khidmat yang diberikan.

Sekiranya anda tidak membuat sebarang tuntutan sepanjang tempoh takaful, anda layak berkongsi lebihan dalam dana takaful, berdasarkan nisbah yang telah dipersetujui oleh anda dan pengedali takaful. Bahagian lebihan anda akan digunakan untuk membeli unit-unit berkaitan pelaburan tambahan.


Takaful berkaitan Pelaburan mempunyai ciri-ciri unik seperti berikut:


- Anda diberi kelonggaran memilih paras perlindungan dan pelaburan
- Anda boleh mengubah jumlah caruman mengikut perubahan kedudukan kewangan anda.
- Anda boleh menukar dana pelaburan yang sedia ada kepada dana pelaburan lain
- Anda boleh menebus sebahagian daripada unit berkaitan pelaburan anda pada bila-bila masa
- Anda boleh memilih untuk melabur dalam pelbagai jenis dana pelaburan (ekuiti, bon atau instrumen kewangan lain)

Perkara-perkara yang perlu dipertimbangkan sebelum memilih Takaful berkaitan Pelaburan:

1) Menentukan peruntukan sumbangan anda untuk perlindungan dan pelaburan
2) Mempertimbangkan jumlah yang ingin dilaburkan, sama ada pelan caruman sekali atau pelan caruman berkala
3) Menilai pilihan dengan bijak dalam mencari pelan yang sesuai dengan keperluan anda
4) Mengetahui jenis-jenis dan jumlah caj dan fi yang dikenakan seperti fi pengurusan dan lain-lain yang mungkin dikenakan untuk perkhidmatan yang diberikan.
5) Mengetahui fleksibiliti pertukaran dana anda.



·         

No comments:

Post a Comment